Definisi Hadhanah
Hadhanah dalam Islam sebagaimana yang dibincangkan oleh ulama’ ialah ‟ bererti menjaga dan mendidik kanak-kanak yang masih kecil oleh seseorang yang berhak dan bertanggungjawab ke atasnya.
- Dari segi bahasa, hadhanah bermaksud mengendong sesuatu dengan tangan. Ia juga bermaksud menjaga dan membesarkan seseorang kanak-kanak.
- Dari segi istilahnya, hadhanah bermaksud perlindungan daripada bahaya atau jagaan yang diberikan kepada seseorang yang tidak boleh menjaga dirinya sendiri seperti seorang kanak-kanak atau orang gila. Jagaan yang dimaksudkan di sini termasuklah dari segi makan, minum dan apa-apa sahaja yang memberi kebaikan dan kemaslahatan kepada mereka.
Tempoh Hadhanah (SEKSYEN 84)
Tempoh hadhanah dapat dibahagikan kepada dua tahap:
i. Tahap sebelum mumayyiz.
Tahap sebelum mumayyiz ialah bermula daripada kelahirannya sehingga kanak-kanak tersebut mencapai usia tujuh tahun.
ii. Tahap selepas mumayyiz.
Tahap selepas mumayyiz menjangkau sehingga mencapai usia baligh bagi kanak-kanak lelaki. Manakala bagi kanak-kanak perempuan, sehingga dia berkahwin.
Pihak Yang Berhak Mendapat Hak Hadhanah (SEKSYEN 81)
Para ulama’ sepakat mengatakan bahawa ibu adalah orang yang paling berhak untuk mendapat hak hadhanah kanak-kanak yang masih kecil.
انت احق بها ما لم تنكحى
“engkau lebih berhak terhadapnya selagi engkau belum berkahwin.”
Prinsip di atas juga adalah berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh Sayyidina Abu Bakar dalam kes antara Sayyidina Umar dan isterinya. Dalam kes ini, hak hadhanah telahdiberikan kepada isteri Sayyidina Umar, iaitu ibu kepada anak tersebut. Semasa membuat keputusan tersebut, Sayyidina Abu Bakar telah berkata kepada Sayyidina Umar: baunya dan kebaikannya (isteri) lebih baik untuk anak ini daripada kamu. Daripada penerangan di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa ibu lebih berhak untuk mendapatkan hak hadhanah anak yang kecil kerana pada ghalibnya ibu lebih penyayang, lebih rapat dan lebih memahami selok belok penjagaan anak kecil, lebih-lebih lagi jika si anak masih menyusu susu ibunya.
Mengikut pendapat ulama’ Syafie, apabila seorang kanak-kanak telah mencapai usia mumaiyyiz atau tujuh tahun, kanak-kanak ini akan diberi pilihan. Apabila usia kanak-kanak ini mencapai umur tujuh tahun dan pihak yang tidak mendapat hak hadhanah memohon untuk mendapatkan hak itu, pada waktu ini kanak-kanak tersebut akan diberi pilihan untuk menentukan dengan siapakah dia lebih selesa untuk tinggal bersama-sama.
Syarat Kelayakan Hadhanah (SEKSYEN 82)
Untuk mendapatkan hak penjagaan hadhanah, syarat-syarat berikut perlu dipatuhi:
i. Berakal
Hak hadhanah tidak diberikan kepada orang gila, kerana ia merupakan hak kekuasaan (wilayah), sedangkan orang gila bukan daripada golongan yang layak berkuasa disebabkan tidak mampu menjaga dan mengawal, bahkan dirinya sendiri memerlukan penjagaan dan pengawasan orang lain.
ii. Islam
Orang kafir tidak berhak menjaga kanak-kanak Islam kerana hadhanah merupakan hak kekuasaan (wilayah), sedangkan orang kafir tidak berkuasa ke atas orang Islam. Hal ini adalah kerana orang kafir mungkin mempengaruhi anak jagaannya dengan pelbagai cara supaya meninggalkan Islam. Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak itu seorang kafir, maka dia boleh dipelihara sama ada oleh orang Islam atau orang kafir.
iii. Amanah
Ia bermaksud penjaga kanak-kanak, bukan seorang yang fasiq. Hal ini adalah kerana orang yang fasiq tidak boleh diberi kepercayaan untuk menjaga sesuatu amanah. Oleh itu, penjaga kanak-kanak seharusnya bersifat adil, menjaga maruah diri dan kuat pegangan agamanya.
iv. Bermuqim
Orang yang berhak menjaga kanak-kanak hendaklah bermuqim di tempat kanak-kanak tersebut menetap. Jika ibu yang menjaga anaknya keluar bermusafir kerana sesuatu keperluan, seperti menunaikan haji, berniaga dan sebagainya dan tidak mampu membawa anaknya bersama-sama, maka orang yang tinggal di tempat anaknya menetap lebih berhak menjaga anak tersebut sehinggalah dia pulang. Oleh itu, dia hendaklah menyerahkan anak tersebut kepada neneknya semasa ketiadaannya.
v. Ibu tidak berkahwin lain.
Hak penjagaan anak gugur jika ibunya berkahwin lain, sekalipun belum disetubuhi oleh suaminya atau suami itu redha anak tersebut tinggal bersama-samanya. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Kamu berhak menjaga anakmu selagi kamu tidak berkahwin.”
vi. Tidak menghidap penyakit yang berpanjangan dan yang menjejaskan penjagaan. Jika seseorang ibu menghidap penyakit yang sukar sembuh seperti batuk kering, lumpuh separuh anggota badan, dia tidak berhak menjaga anaknya. Hal ini demikian kerana keuzuran dirinya menjejaskan penjagaan terhadap anaknya.
Sebab-sebab Yang Menjadikan Seseorang Hilang Hak Hadhanah (SEKSYEN 83)
i. Jika seorang perempuan itu berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian
dengan kanak-kanak itu.
ii. Jika seorang perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka.
iii. Jika seorang perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa
kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu.
iv. Jika seorang perempuan itu murtad.
v. Jika seorang perempuan itu menganiaya kanak-kanak itu.